Kolej Komuniti Tanjung Piai merupakan salah satu Institusi Pengajian Tinggi Awam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan telah ditubuhkan sewaktu Rancangan Malaysia ke-9. Memulakan operasinya pada 1 Januari 2008 di lokasi Pusat Perdagangan Pontian dengan menjalankan kursus pendek dan mula menerima pelajar sepenuh masa yang pertama pada Julai 2008. 

Kolej ini mempunyai keluasan kawasan seluas 1500 mps (untuk 3 lot kedai 3 tingkat) yang merupakan bangunan secara sewaan. Terletak di persisiran pantai, kolej ini menyediakan persekitaran yang kondusif dan sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran.  Pada awal penubuhannya, kolej ini merupakan kolej cawangan daripada Kolej Komuniti Pasir Gudang tetapi telah mendapat status Pusat Tanggungjawab (PTJ) pada Oktober 2012. 

Kolej Komuniti Tanjung Piai menawarkan kursus sepenuh masa (Sijil Sistem Komputer & Rangkaian)  serta Kursus Pendek mengikut keperluan masyarakat setempat. Penubuhan ini selaras dengan misi Kolej Komuniti yang memfokuskan untuk mewujudkan peluang pembangunan potensi dan pencapaian kecemerlangan kepada pelajar lepasan sekolah menengah dan masyarakat setempat khususnya di Daerah Pontian.